1. Mendapat Berbagai Kesenangan dalam Hidup
Apabila kita sentiasa membaca Surah Al-Waqiah pagi, petang, siang dan malam, bukan saja hati akan tenang malahan anda tidak akan berada dalam kesempitan wang ringgit malahan rezeki akan sentiasa melimpah-ruah tanpa henti.
2. Dijauhkan Dari Kemiskinan dan Papa Kedana
Apabila seseorang itu menjadikan Surah Al-Waqiah sebagai amalan harian sekurang-kurangnya membaca sekali setiap malam, secara tak langsung dia akan dijauhkan dari kemiskinan atau papa kedana.
Sepertimana sabda Rasulullah yang bermaksud "Barangsiapa yang membaca bacaan Surah Al-Waqiah pada setiap malam, nescaya kebuluran itu tidak akan sekali-kali menimpa dirinya."
Mungkin ada yang tak tahu bahawa Rasulullah utusan Allah yang mulia itu sendiri telah mengajarkan semua puterinya serta isteri-isterinya agar sentiasa membaca Surah Al-Waqiah setiap malam.
Jadi, kita sebagai seorang manusia biasa seharusnya dan sebaiknya mestilah rajin mengamalkannya dalam kehidupan seharian kita agar diri kita dan keluarga dapat dijauhkan dari kemiskinan dalam hidup.
3. Dimurahkan Rezeki Yang Melimpah Ruah
Amalan membaca Surah Al-Waqiah sebanyak 14 kali selepas selesai menunaikan solat Asar, Insya Allah anda akan dikurniakan oleh Allah dengan kekayaan serta dimurahkan rezeki yang berlimpah-ruah dalam pelbagai bentuk rezeki.
Walau bagaimanapun, sekiranya seseorang itu membaca surah ini dengan tujuan atau niat ikhlas untuk mendapatkan sedikit duit dan bukan menunjuk-nunjuk atau riak dan semata-mata hanya untuk memenuhi kekayaan hati iaitu kepuasan rohani dan ukhrawi, insya Allah dengan sendirinya kekayaan duniawi akan menyusul dengan melimpah ruah.
4. Ditunaikan Hajat Dengan Cepat
Ada yang berpendapat untuk lebih mujarab, seseorang itu harus mengamalkan Surah Al-Waqiah ini sebanyak 41 kali dalam satu majlis supaya semua hajat dan niatnya akan dimakbulkan terutamanya perkara yang berkait dengan rezeki.
Sebahagian ulamak pula berfatwa bahawa sesiapa sahaja yang membaca Surah Al-Waqiah pada setiap hari siang dan malam dalam satu majlis sebanyak 40 kali selama 40 hari, Allah akan mempermudahkan urusan rezekinya dan menunaikan hajatnya dengan tanpa kesusahan dan penuh keberkatan.
5. Menjadi Seorang Yang Lebih Bersyukur
Mungkin ada yang tak percaya, jika kita sentiasa amalkan bacaan Surah Al-Waqiah dalam kehidupan seharian, secara tak langsung kita akan memperoleh kekayaan yang luar biasa tanpa disangka-sangka.
Untuk terus menjadi seseorang yang sentiasa bersyukur, anda harus mengamalkan Surah Al-Waqiah supaya dapat mengelakkan diri dari menjadi seorang yang takbur setelah dikurniakan kekayaan dengan banyaknya.
Jadikan amalan surah ini dan dibaca sebanyak 3 kali selepas selesai Solat Subuh dan 3 kali selepas Solat Isyak, Insya Allah anda akan menjadi orang kaya yang sentiasa bersyukur, tidak kedekut untuk berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan.
Malahan kesan membaca surah ini juga tidak akan ada atau terdetik sedikit pun rasa di hati apabila selalu memberi dan bersedekah boleh mengurangkan harta kekayaan atau satu pembaziran.
6. Menjauhkan Sifat Sombong, Riak dan Bongkak
Kebaikan dan kelebihan membaca surah Al-Waqiah juga tidak terkecuali dapat menghindarkan diri kita daripada terus menjadi sombong, bongkak dan riak. Anda akan dilimpahkan rezeki yang berpelbagai dan secara tidak langsung dapat menghindari dari sifat sombong selepas memiliki kekayaan dunia.
Apabila tiada lagi sifat sombong, riak atau bongkak dalam diri seseorang itu, mudahlah untuk dirinya membantu orang lain yang memerlukan pertolongan bantuan. Malahan mereka tak akan merasa terbeban dan akan lebih memperbanyakkan lagi amal jariah untuk akhirat.
7. Menjadikan Wajah Lebih Berseri
Wuduk dan solat sememangnya dapat menaikkan seri wajah seseorang itu. Membaca Surah Al-Waqiah juga boleh menjadikan wajah seseorang itu berseri-seri dan sesiapa yang melihatnya akan tenang dan akan disenangi.
Selain mengamalkan bacaan surah ini selepas solat, anda boleh mengambil segelas air dan bacalah Surah Al-Fatihah sekali dengan Surah Ayatul Kursi dan juga Surah Al-Waqiah bermula dari ayat 35-38 sebanyak 7 kali. Tiup kepada air tersebut dan minum air tersebut.
Setelah selesai berniatlah dalam hati untuk menjaga kecantikan diri dan kebahagiaan keluarga anda, Insya Allah raut wajah akan tampak jernih dan bersih lagi berseri-seri.
8. Lebih Mendekatkan Diri kepada Allah
Untuk menjadi yang lebih baik dan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT, Surah Al-Waqiah juga menjadikan asbab untuk anda berubah. Anda harus mempunyai tekad dan iktikad untuk lebih konsisten.
Petua Syeikh Abi’l Abbas, untuk Surah Al-Waqiah, terlebih dahulu anda perlu berpuasa selama 7 hari dimulai pada hari Jumaat dan berakhir pada hari Khamis. Membuka puasa hanya dengan makanan yang tidak bernyawa seperti sayur-sayuran atau buah-buahan.
Dalam 7 hari itu, setelah selesai solat fardhu, hendaklah membaca Surah Al-Waqiah sebanyak 25 kali manakala pada hari terakhir berpuasa iaitu pada malam Jumaat, bacalah Surah Al-Waqiah ini sebanyak 125 kali kemudian disusuli dengan selawat sebanyak 1000 kali.
Dengan menjadikan amalan ini sebagai rutin harian, secara tak langsung anda dapat mendekatkan diri dengan Allah, seterusnya menjadikan anda mukmin yang lebih sejati dan bersifat sufi. Anda boleh jadikannya sebagai amalan sunat untuk mendekatkan diri kepada Allah Swt.
9. Mempermudahkan Orang Sakit Atau Bersalin
Surah Al-Waqiah ini juga amat sesuai diamalkan dan dibaca ketika berada di sisi mayat atau orang yang sakit dan mereka yang sedang nazak. Kelebihan Surah Al-Waqiah ini adalah untuk memudahkan roh keluar dari jasadnya dan mengurangkan kesakitan selain dapat mengelakkan daripada mereka terus nazak dan menderita.
Apabila surah ini dibaca kepada mereka yang sedang tenat maka akan diringankan azab kesakitannya. Boleh juga diamalkan dan dibaca di sisi wanita yang ingin bersalin supaya urusan bersalin lebih cepat dan dipermudahkan.
Ini juga antara amalan-amalan doa awet muda yang diamalkan oleh mereka-mereka yang mengetahui tentang kebaikan, kegunaan dan khasiat Surah Al-Waqiah ayat 35-38 yang dibaca sebanyak 7 kali.
Inilah perkongsian kelebihan Surah Al-Waqiah yang menjemput rezeki dan memudahkan urusan. Ternyata Surah Al-Waqiah mempunyai banyak kebaikan dan bermacam khasiat serta fadhilat yang mungkin ramai tak tahu.
Mulai sekarang, rajinkanlah diri anda untuk membaca Al-Quran dan hayatilah maksudnya dan erti di dalamnya. Jika anda menghayati setiap satu maksudnya pasti perasaan sayu itu timbul dan merasa insaf setelah anda tahu akan kelebihan Surah Al-Waqiah ini.
Oleh itu, ambillah kesempatan dan curilah masa untuk mengamalkan dan membaca surah ini untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Perancangan Allah itu sangat hebat dan janganlah putus asa. Jadikan amalan membaca Surah Al-Waqiah ini sebagai satu kemestian dan rutin harian dengan ikhlas kerana Allah Taala.
Semoga amalan ini diberi manfaat kepada kita semua. Amin...
0 Comments
Post a Comment